Wednesday, 15 February 2012

Wasiat.

Hari itu,semuanya serba tak kena.Hari yang dah lama ditunggu-tunggu akhirnya tiba.Setelah sebulan pemergian orang tuanya,Saiful yang tinggal sebatang kara dipanggil ke firma guaman Chong & Partners A.Pada hari dia menerima sepucuk surat daripada firma guaman tersebut,hatinya mula gundah gulana.Kiranya dia menerima surat perintah mahkamah untuk menyelesaikan hutang pinjaman banknya bagi pembelian rumah yang sudah lama terbengkalai jadual pembayarannya,di samping panggilan pertama kes langgar lari yang dilakukannya dengan kereta yang tak habis dibayar;juga dengan pinjaman daripada bank yang sama.

Namun segalanya meleset apabila tajuk utama suratnya menyebut…

‘’KERJASAMA PIHAK TUAN UNTUK MENYELESAIKAN URUSAN WASIAT’’.

Wasiat?

Terkedu Saiful seketika.Urusan wasiat apa ini?Sejak kecil dia hidup secara sederhana bersama ayah dan ibunya di sebuah kampung di pinggir bandar bersejarah Melaka.Makan mereka sederhana,kadang-kadang berlaukkan ayam,kadang-kadang ikan.Ada masanya mereka terpaksa berlapar perut dek kerana gaji ayahnya yang bekerja sebagai seorang pemandu bas tidak masuk lagi.Kegembiraan mereka tidak lama akibat pemergian si ibu yang menemui ajal kerana sakit jantung akibat positif sebagai second smoker.Tabiat pelik ayahnya yang gemar menghembus asap rokok Dunhill yang dihisapnya ke muka isterinya sejak berpuluh tahun yang lalu akhirnya memakan diri.Isterinya mati awal meninggalkan mereka berdua.Si ayah menyesal sedari itu.Tak sampai sebulan,ketika kubur isterinya masih merah,ayahnya pula menemui ajal akibat terlibat dalam satu kemalangan jalan raya.

Kalaupun ayahnya ada meninggalkan wasiat semasa hayatnya,setaranya dia mewasiatkannya melalui firma guaman yang lebih rendah fee-nya.Bukan Chong & Partners A yang sememangnya terkenal sebagai salah sebuah firma guaman terbaik di Malaysia.Apakah rahsia yang di sebalik semua ini?

Bilik itu terasa panas walaupun suhu hawa dinginnya serendah 16 darjah Celcius.Saiful mula berpeluh jantan.Peluhnya makin ligat menitik,semakin ligat apabila dia perasan ada seorang lelaki datang ke arahnya.Dari pakaiannya,dan lagaknya,Saiful  yakin lelaki itulah peguam yang menguruskan kes wasiat arwah ayahnya.Lelaki itu mengeluarkan sampul surat berwarna emas daripada briefcase James Bond-nya.

Saiful senyum sejurus lelaki itu senyum.Lelaki itu menjemputnya duduk,dan memberikannya sampul surat berwarna emas itu.Sampul surat itu sedikit berdebu.Ditepuk-tepuk Saiful bagi menghilangkan habuknya.Hati Saiful semakin berdebar-debar.Lipatan surat tersebut dibuka dengan penuh berhati-hati,lalu dibacanya.

‘’Kehadapan anakku Saiful,ayah sengaja buat persediaan wasiat ini awal.Bimbang kalau-kalau ajal ayah datang dulu.Sebenarnya ayah adalah seorang yang kaya.Ayah sengaja mengaburi mata semua orang dengan kerja ayah sebagai pemandu bas ekspres ni.Ayah sengaja nak mencuba skil ayah dalam pemanduan kenderaan besar,macam dalam game GTA.Inipun selepas ayah terhancurkan helikopter ayah yang ke 10.Oh,lupakan pasal hal itu.Aset ayah sangat banyak.Ayah ada akaun bank di Swiss.Ada ada beribu ekar tanah.Berpuluh-puluh kereta sport.Dan bermacam-macam lagi.Kalau ayah bagitau kau pun,kau bukannya tahu sebab ayah buat wasiat ni semasa kau masih lagi tak putus susu dengan ibu kau.Ayah sedar harta tak boleh dibawa mati,justeru itu ayah ingin beritahu bahawa ayah ada menyimpan wang di satu tempat rahsia.Jumlahnya sangat banyak.Ayah simpan wang tersebut di bawah…

Surat tersebut berakhir di situ.Terdapat kesan terbakar di bahagian bawah surat tersebut.Saiful yakin itu kesan terbakar daripada rokok ayahnya yang diletak di dalam ashtray,berhampiran dengan surat yang sedang ditulisnya pada 30 tahun lalu.Dia terlalu yakin.

Saiful masih juga dengan poker face-nya.Dalam diam,dia menangis sambil menyumpah seranah penuh celaka.Hobi ayahnya merokok meragut kebahagiannya;ibunya serta harta ayahnya yang berjuta.

No comments:

Post a Comment